EPISOD 14
Sebulan kemudian...
SEBAIK sahaja Inara mengenggam brek basikalnya, wajah manis gadis berselendang biru itu terus dipenuhi dengan tanda tanya. Anak matanya tunak memandang sebuah Honda Civic yang diparkir di halaman rumah keluarganya.
Tanpa berlengah, Inara terus turun dan menuntun basikalnya ke belakang rumah. Basikal dikunci dengan mangga. Plastik berisikan barangan yang dipesan oleh kakaknya dijinjing. Entah mengapa, intuisi Inara berasa tidak enak tatkala itu. Sunyi sepi saja keadaan rumah. Seolah-olah tak berpenghuni.
Lantas, Inara melangkah masuk melalui pintu belakang rumah. Barangan dapur di letak di atas meja. Inara semakin terasa sepi. Tak seperti kebiasaannya, bila mana suara lantang kakaknya yang berbual dengan ibu sentiasa menghiasi rumah. Oh sungguh, kesepian petang itu membuatkan Inara tak senang duduk.
"Assalamualaikum! Ibu, Kak Syi! Nara dah balik ni," kata Inara.
Namun, tiada sebarang sahutan yang kedengaran. Aneh! Di luar, kereta kakaknya masih kelihatan. Tak mungkin kakak dan ibunya keluar tanpa pengetahuannya.
"Ibu..."
Hampir luruh jantung Inara tatkala blowout whistles ditiup serentak dengan nyanyian ulang tahun. Anak mata gadis itu sudah meliar memandang ruang tamu yang dihiasi dengan belon dan makanan.
Wajah-wajah yang sedang menyanyikan ulang tahun kepadanya dipandang satu per satu. Tatkala anak mata Inara memandang si figura yang sedang memegang kek, air matanya terus mengalir ke pipi. Rasa sebak terus bertandang di lubuk hati. Sungguh, Inara rindu.
"Selamat ulang tahun yang ke 18 adik bongsu abang," ucap Mustaqim bersama senyuman yang mekar di bibir.
Segaris senyuman turut terukir di bibir Inara. Dengan lafaz bismilahirahmanirahim, Inara meniup lilin. Tubuh abangnya lantas didakap erat bersama deraian air mata yang semakin deras.
"Abang... Inara rindukan abang sangat-sangat!" rintih Inara.
Senyuman Mustaqim semakin melebar. Belakang tubuh adiknya diusap lembut. Dia juga amat merindui Inara. Kek sudah bertukar tangan dengan Insyirah. Tak semena-mena, situasi yang seharusnya ceria bertukar hiba dengan tangisan Inara.
"Abang pun rindukan adik abang juga. Janganlah menangis. Kan abang dah ada depan mata Nara. Abang janji, lepas ni abang ambil cuti lama sampai Nara dapat result SPM," pujuk Mustaqim. Perlahan-lahan, tubuh Inara ditolak lembut. Air mata adiknya dikesat lembut.
Mendengar pujukan Mustaqim membuatkan Inara senang hati. Keluarga mereka kembali lengkap dengan kepulangan abangnya. Wajah Mustaqim ditatap bagi melepaskan kerinduan. Saat itu juga, baru Inara sedar ada parut panjang di pipi kanan abangnya.
"Abang... parut...."
Tak semena-mena, Inara kematian kata tatkala blowout whistle ditiup di cuping telinganya. Terhinggut bahu Inara dengan kejutan itu. Wajahnya mula tegang. Lantas, anak matanya menatap wajah si figura yang tak bertamadun itu.
"Aisar! Ish tak padan dengan sakit, suka sangat cari pasal dengan aku," omel Inara. Kecil besar saja dipandangnya figura Aisar yang sudah terkekek itu. Kalau diikutkan hatinya yang geram, mahu saja Inara mencampak topang Aisar jauh-jauh. Biar Aisar tidak boleh berjalan dengan kaki kirinya yang masih disimen.
"Hodohlah muka kau menangis. Macam baby minta susu. Nguek nguek!" usik Aisar sambil membuat gaya bayi menangis. Bibir sengaja dijuihkan.
Tak semena-mena, Inara menaikkan tangannya. Acah-acah mahu menumbuk Aisar yang sudah terkekek mengejeknya. Selepas insiden dibantai penduduk kampung, sikap mengusik Aisar semakin menjadi. Inaralah yang selalu menjadi mangsa. Sungguh, Inara geram.
"Aku bagi kang hah! Abang, tengok Aisar ni... suka sangat kacau Nara. Marahlah dia."
Mendengar aduan Inara membuatkan Mustaqim turut tertawa. Kepalanya digelengkan melihat telatah Aisar dan Inara. Seolah-olah, beban yang dipikul di bahunya sedikit reda dengan gaduh manja dua remaja itu.
"Kau orang jangan gaduh-gaduh sangat. Tak elok! Orang tua-tua cakap..."
"Orang tua-tua cakap, kalau selalu bergaduh nanti terkahwin juga. Betul tak warga veteran sekalian?" pintas Insyirah. Menyambung diksi abangnya. Lantas, Puan Suhaila, Encik Yusof dan Puan Kirana tertawa riang dengan usikan gadis berusia pertengahan 20 an itu.
"Okay apa Aisar dengan Inara. Aisar on saja kalau Inara sudi..."
"Eh aku dah cakap kan aku tak nak dengan kau! Suka sangat cakap benda merepek. Dahlah! Jomlah kita makan. Nara nampak makanan dekat meja ni makin berselera pula nak jamah," pintas Inara seraya berpimpin tangan dengan abangnya menuju ke meja kopi. Ada spageti, nasi goreng kampung, sandwich, kek coklat dan puding di atas meja.
Sangat menyelerakan!
Melihat keceriaan di laman wajah Inara membuatkan Aisar senang hati. Tak kesahlah seberapa banyak mana sekalipun Inara menolak, Aisar tetap yakin dengan perasaannya sendiri. Dia menyayangi Inara lebih daripada seorang sahabat. Kerana itu, ada sesuatu yang Aisar sedang pertimbangkan demi nama baik Nur Inara.
Aisar sudah tidak mahu Inara menjadi mangsa mulut puaka orang kampung lagi. Malahan, Aisar tahu bahawasanya, Inara sentiasa cuba untuk menjadi kuat demi Aisara.
SEKOTAK hadiah berbalut merah jambu dicapai dari atas meja. Segaris senyuman terukir di bibir Inara tatkala teringat akan si pemberi. Masih terngiang-ngiang omongan Aisar di halwa telinganya.
"Kau jangan buka hadiah ni selagi kita tak dapat result SPM. Kalau kau buka juga, bermakna yang kau dah tak sayangkan Aisara."
"Cis! Nak main ugut-ugut aku pula. Dah kalau nak suruh buka lepas dapat result SPM, kenapa pula bagi awal-awal? Eh, lepas kena hentam makin peliklah perangai anak pak cik Yusof yang seorang ini," omel Inara sambil menggoncangkan kotak hadiah. Sudah tentunya Inara tertanya dengan hadiah pemberian Aisar.
"Ala, tapi kalau aku buka..."
Inara kematian diksi sebaik saja pintu biliknya diketuk dari luar. Lantas, Inara meletakkan kotak hadiah di dalam almari. Langkah diatur menyambut si figura yang mengetuk pintu biliknya.
"Nara sibuk?" soal Mustaqim sebaik saja Inara membuka pintu.
"Tak. Kenapa? Abang nak Nara buatkan air?"
Mustaqim menggelengkan kepalanya. Terserlah ketegasan di roman wajah pemuda itu. Ada sesuatu yang ingin dijelaskan kepada Inara. Kebenaran yang selama ini disembunyikan. Hanya demi menjaga amanah arwah abah mereka.
"Abang ada nak cakap sesuatu dengan Nara. Mari, kita ambil angin dekat luar. Dah lama kan abang tak borak berdua dengan Nara. Pergi pakai tudung," ujar Mustaqim seraya melangkah keluar dari rumah.
Intuisi Inara mula terasa tidak enak sebaik sahaja mendengar perintah abangnya. Keceriaannya serta-merta digantikan dengan rasa galau. Melihat saja roman wajah Mustaqim, cukup memberikan klu kepada Inara bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan perbualan mereka.
"DIBUNUH?"
Mustaqim mengangguk. Mengiakan omongan Inara yang kelihatan kaget. Dahi gadis itu sudah dilapisi dengan kerutan. Anak matanya sudah melotot memandang raut wajah Mustaqim.
"Abah meninggal bukan sebab kemalangan. Abah meninggal sewaktu dia bertugas sebagai perisik. Ibu, abang dengan Kak Syi tak bagi tahu Nara sebab... Nara kecil lagi masa tu. Baru darjah lima," jelas Mustaqim. Ada nada kesal di sebalik suaranya tatkala kebenaran dirungkaikan kepada Inara.
Inara yang sudah kaget, hanya mampu menekup mulutnya. Jiwanya sudah hancur berkecai. Inara rasa tertipu! Manakan tidak, selama hayatnya, Inara hanya tahu bahawa abahnya bekerja sebagai seorang pemandu teksi di ibu kota.
"Itulah sebab utama... kita sekeluarga tinggal dekat kampung. Arwah abah tak nak kita semua diancam bahaya. Di sini, kita selamat. Abang tahu, Nara kecewa sebab genap 18 tahun umur Nara... barulah Nara tahu siapa abah yang sebenarnya. Abang minta maaf Nara. Abang juga minta maaf bagi pihak abah, ibu, Insyirah," tambah Mustaqim. Tangan Inara lantas digenggam erat. Memberikan kekuatan kepada adiknya yang kelihatan rapuh.
"Habis tu... abang... ke... kenapa ibu nak rahsiakan... pekerjaan abang?" soal Inara. Nada suaranya sudah bergetar menahan sebak di dada.
Mustaqim mengalihkan pandangannya dari menatap wajah Inara. Pandangannya tertancap pada rembulan di dada langit malam. Angin malam yang menyapa wajah terasa begitu nyaman. Sebab itu, Mustaqim mengajak Inara berbual di luar rumah. Mustaqim memerlukan udara segar.
"Sebab... ibu dengan abang ada konflik. Disebabkan kematian abah demi mempertahankan negara, ibu tak nak abang jadi polis. Ibu takut, benda yang sama terjadi kepada abang. Kerja abang berbahaya, Nara. Abang berdepan dengan dunia kongsi gelap," jelas Mustaqim. Segala rahasia yang disimpan lantas diujarkan kepada Inara. Gadis itu berhak tahu segalanya.
Mendengar penjelasan Mustaqim membuatkan Inara semakin kematian diksi. Belum pun reda kejutan mengenai kematian abahnya, kini dia ditujahkan pula dengan pekerjaan abangnya. Sudahlah kes Aisar belum reda.
Oh sungguh, Inara rasa bersalah tidak mampu meringankan beban orang sekelilingnya.
"Sekarang, semuanya sudah terungkai. Abang dah berbincang dengan ibu pasal masa depan Nara. Kita orang akan mohon biasiswa JPA untuk Nara supaya Nara boleh belajar dekat luar negara."
"Belajar dekat luar negara? Tapi... kenapa? Dekat Malaysia kan ada tawarkan bidang perubatan..."
"Abang tak nak Nara belajar dekat KL. Bahaya! Musuh arwah abah masih bebas di luar sana walaupun dah berbelas tahun kejadian itu berlaku. Lagi pun, jadi doktor kan cita-cita yang Nara selalu ceritakan kepada arwah abah. Abah nak sangat tengok Nara belajar dekat luar negara. Dia dah simpan duit untuk Nara. Abah kata, dekat sana bidang perubatan lebih meluas," pintas Mustaqim. Pesanan terakhir arwah abahnya lantas diujarkan kepada Inara. Kepala Inara yang berbalut dengan selendang diusap lembut.
Tika itu, Inara benar-benar kaku. Hatinya merintih pilu dengan amanah seorang ayah. Setitis air mata serta-merta mengalir ke pipinya. Ada kerinduan yang menyapa sanubari. Barulah Inara tahu, segala rahsia yang disimpan rapi oleh keluarganya. Ketakutan mendengarkan tentang musuh abahnya turut menyelinap masuk ke dalam diri.
"Inara... abang yakin Nara akan dapat keputusan cemerlang yang boleh melayakkan Nara belajar dekat luar negara. Ini semua pun, demi keselamatan Nara."
"Tapi... Inara... tak nak berjauhan dengan ibu, abang, kakak dan Aisar. Abang... Inara tak nak! Nara dah janji dengan Aisar yang kita orang tak akan berpisah jauh," tegas Inara. Esakannya mula pecah tatkala emosi mula mengawal minda gadis itu. Wajahnya ditekup dengan kedua belah tangan.
Sungguh, Inara buntu.
Melihat Inara sudah teresak-esak membibitkan rasa hiba di lubuk hati Mustaqim. Tubuh adiknya lantas
didakap erat. Mustaqim mengerti, Inara kaget.
Sepuluh tahun mereka menyembunyikan hal yang sebenar daripada Inara. Demi menjaga emosi gadis itu. Malahan, semua amanah yang diberikan oleh arwah Encik Rosham sudah pastinya sukar untuk dihadam oleh Inara.
KELUHAN berat terlepas dari bibir tatkala anak matanya tunak memerhatikan Inara yang sedang menangis di dalam pelukan Mustaqim. Seakan-akan, kesakitan yang dirasai oleh Inara menyerap ke relung hati seorang Aisar Mumtaz.
Ada apa dengan perbualan dua beradik itu? Aisar tertanya-tanya. Tapi, dia tidak mahu menjadi penyibuk. Hanya saja, Aisar tidak mampu melihat kesedihan Inara.
"Sejak kes fitnah Aisar, tempahan Su dah makin kurang. Penduduk kampung dah tak nak hantar kain dia orang dekat Su. Su risaulah abang. Lepas ni, kalau rezeki Aisar masuk universiti, Su risau kalau duit tak cukup untuk kos perbelanjaan anak kita."
Aisar tersentak dari lamunan tika suara emaknya menyusup halwa telinga. Rumah mereka yang berkonsepkan rumah kayu, sudah tentunya memberikan ruang untuk Aisar mendengar suara emaknya di ruang tamu. Manakan tidak, biliknya hanya berada di sebelah ruang tamu saja.
"Su janganlah risau sangat. Selagi abang masih ada kudrat, abang akan betulkan semuanya. Percayalah Su. Doa orang teraniaya sentiasa dimakbulkan oleh Allah. Sekarang, Su teruskan tempahan yang ada. Pasal kos pengajian Aisar nanti, abang kan memang dah ada simpanan untuk anak-anak kita," ujar Encik Yusof. Memujuk isterinya yang kelihatan resah.
Merasakan perbualan ibu bapanya semakin hangat, intuisi Aisar mula tidak enak. Ada rasa bersalah menyelinap masuk ke dasar hati. Keluarganya ada masalah wang dan dia di sini, masih tidak mampu membantu. Semuanya hanya disebabkan kakinya yang masih dalam fasa penyembuhan.
Sungguh! Aisar rasa dialah anak yang tidak berguna.
Perlahan-lahan, Aisar melangkah keluar dari bilik dengan topang yang membantunya. Segaris senyuman palsu diukir di bibir. Tidak mahu emak dan bapanya tahu gundah di hatinya.
"Pergi rehat. Su ada darah tinggi. Jangan fikir sangat pasal masalah kita. Kita serahkan saja semuanya kepada Allah. Cepat atau lambat, kebenaran akan terungkai juga," kata Encik Yusof lagi. Secawan teh panas dihirup perlahan.
Puan Suhaila menghela nafas berat. Wanita bertubuh kurus itu hanya menurut arahan suaminya. Langkah diatur ke kamar beradu. Namun, langkahnya terbejat tatkala melihat wajah Aisar sudah terpampamg di depan mata.
"Aisar nak apa-apa ke?" soal Puan Suhaila, prihatin.
"Aisar nak mak santai dan relaks makan kit kat saja. Boleh?" usik Aisar seraya tersengih kelat. Tangan emaknya digenggam lantas dikucup bertalu-talu.
Puan Suhaila tersenyum dengan telatah Aisar. Raut wajah anaknya diusap dengan penuh kasih. Dalam diam, wanita itu memuji anaknya. Aisar kuat fizikal dan mental. Manakan tidak, dalam keadaan dirinya difitnah dan dibenci penduduk kampung, Aisar masih bisa berjenaka dan menghiburkan orang sekelilingnya.
"Mari sini Aisar. Alang-alang kau tak tidur lagi, temankan bapa minum," arah Encik Yusof seraya menanggalkan kaca matanya.
Aisar menurut. Duduk dilabuhkan bertentangan dengan bapanya. Sepotong kek batik dijamah. Sudah terlalu lama Aisar dan bapanya tidak berbual berduaan. Manakan tidak, hubungan dua beranak itu tidak begitu rapat.
"Dah sebulan lebih SPM tamat. Jadi, kau dah fikir pasal masa depan kau?" soal Encik Yusof. Tubuhnya disandarkan di belakang kerusi.
Aisar hanya tersengih dengan soalan maut bapanya. Pucuk hidung yang tak gatal digaru. Aisar sudah ada jawapannya. Tetapi, Aisar risau jikalau cita-citanya tidak direstui oleh bapanya.
"Sudah. Aisar nak sambung..."
Aisar jeda.
Hati Aisar membuak-buak ingin mengungkap isi hatinya. Sejak mulut-mulut puaka merosakkan nama keluarganya, Aisar sudah semakin ligat memikirkan sesuatu demi orang sekelilingnya. Ini yang terbaik. Aisar yakin!
"Bapa, Aisar nak jadi askar macam bapa. Izinkan Aisar... keluar dari kampung untuk mulakan hidup yang baru. Aisar tak nak... nama mak, bapa, Airis terus buruk sebab Aisar. Aisar tak nak, tengok Inara pura-pura kuat lagi."
Tak semena-mena, wajah Encik Yusof berubah tegang dengan permintaan anaknya. Kaget! Di sebalik ketidakmatangan Aisar, rupanya Aisar sedang berfikir jauh!
"Kamu dah fikir masak-masak?"
"Sudah, bapa! Ini cita-cita Aisar. Aisar tahu, perangai Aisar yang tak matang buat bapa tak yakin. Tapi, Aisar nak buktikan dengan orang kampung... anak Encik Yusof ini bukan perosak. Aisar nak bersihkan nama keluarga kita dengan kejayaan Aisar!" tekad Aisar. Nada suaranya penuh dengan semangat waja.
Mendengarkan semangat Aisar membuatkan Encik Yusof tersenyum. Nafas panjang dihela. Raut wajah Aisar yang semakin surut dari memar ditatap sedalamnya.
"Kau dah sedia berkorban demi negara? Fizikal dan mental kau dah sedia, nak lakukan latihan berat? Paling penting, kau dah sedia nak lakukan latihan survival? Huh?"
Bertubi-tubi soalan yang ditujahkan kepada Aisar Mumtaz membuatkan pemuda itu semakin tercabar. Aisar tahu, bapanya akan mencabarnya. Tapi, Aisar sudah lama mengidamkan pekerjaan murni itu. Semangatnya semakin berkobar tatkala penduduk kampung mencemuh keluarganya.
"Aisar Mumtaz... dah bersedia dengan segala yang bapa persoalkan itu. Ini impian Aisar! Aisar akan tinggalkan kampung ini dan tinggalkan semua kenangan dekat kampung. Aisar akan kembali, bila Aisar dah berjaya!"
"Termasuk mak dan Inara? Bersediakah nak tinggalkan mak dan Inara? Aisar, bapa tahulah perasaan kamu demgan Inara tu macam mana. Bapa lelaki! Sudah tentunya bapa faham yang kau sayangkan Inara lebih daripada seorang sahabat!"
Tatkala itu, Aisar seakan-akan kematian hujah dengan soalan sinis bapanya. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Kepalanya tertunduk buat seketika. Samar-samar, kotak ingatan Aisar menyapa sebuah memori.
"Aisara selamanya! Kita tak akan berjauhan antara satu sama lain. Kalau ada di antara kita yang menghilang, maka Aisara akan lenyap buat selamanya!"
Itulah janji setia persahabatan Inara dan Aisar ketika mereka berada di tingkatan satu. Tapi, keadaan sudah berbeza. Kalau Aisar mahu pergi tanpa pamit, Aisar punya sebab.
"Kau sanggup tinggalkan Inara? Kau sanggup kecewakan hati dia?" soal Encik Yusof lagi. Menguji keyakinan anaknya.
Perlahan-lahan, Aisar mengangkat wajahnya. Bibirnya diketap. Tubir mata mula terasa hangat. Dinding hati Aisar benar-benar sesak. Kejamkah dia meninggalkan Inara dan memungkiri janji Aisara mereka?
Oh sungguh, hanya kerana Inara, hati Aisar Mumtaz mula berbolak balik.
Bersambung...
Thanks korang sudi baca karya syaf 😊
Kalau sukakan karya ini, nak butang vote boleh 👉👈
Episod perpisahan AISARA semakin menghampiri 🍃
Bersedialah🍃
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top