EPISOD 11

SLAID yang memaparkan aktiviti jenayah yang dilakukan oleh Black Eagle, menjadi tumpuan sepasukan polis yang ditugaskan untuk membanteras kongsi gelap tersebut. Masing-masing, fokus mendengar laporan yang sedang dibentangkan oleh Sarjan Delisha.

"Saya mendapati bahawa, Black Eagle yang diketuai oleh Zamrud bukan saja melakukan pemerdagangan wanita. Malahan, mereka turut menjadikan kanak-kanak yang diculik sebagai sindiket pengemis kanak-kanak. Slaid yang saya paparkan inilah bukti sepanjang risikan yang telah dilakukan," jelas Delisha. Jarinya ligat menekan butang untuk ke slaid seterusnya.

Terpampang aktiviti sindiket peminta sedekah kanak-kanak yang dilakukan oleh Black Eagle. Kanak-kanak tersebut dilihat menjadi peminta sedekah di beberapa buah restoran dan lorong pejalan kaki. Pakaian mereka pula compang-camping dengan wajah yang comot.

"Sejak dua menjak ini pun, kes penculikan kanak-kanak semakin meningkat. Boleh jadi, ini semua ada kaitan dengan sindiket peminta sedekah. Lagi pun, ini kira kes baharu lagi," lapor Lim pula.

ASP Alaudin mengangguk dengan laporan daripada setiap orang bawahannya. Dia berpuas hati dengan kemajuan mereka. Tambahan pula, kes sindiket dadah yang diketuai oleh Mustaqim.

"Inspektor Mustaqim, macam mana dengan risikan kamu ke atas kumpulan Black Eagle? Ada apa-apa berita terkini?" soal ASP Alaudin.

Mustaqim mula menegakkan posisi duduknya. Sesekali, pandangannya bersatu dengan wajah pucat Delisha. Entah mengapa, intuisi Mustaqim terasa tidak enak sekali lagi. Seperti ada sesuatu yang disimpan oleh Delisha. Manakan tidak, semalam,  sejurus saja pasukan mereka makan malam bersama, Delisha tiba-tiba pengsan.

Malahan, sejak kebelakangan ini juga Delisha seakan-akan sering menahan sakit. Sudah tentunya Mustaqim risau. Dia mempunyai niat dsm tekad. Selepas pasukannya dapat menumpaskan Black Eagle, Mustaqim mahu melamar Delisha menjadi pasangan hidupnya.

"Inspektor! Macam mana dengan hasil risikan kamu? Ada apa-apa perkembangan?" soal ASP Alaudin lagi. Nada suaranya kedengaran semakin tegas. Aneh melihat Mustaqim yang hanyut dengan khayalannya.

"Maaf tuan. Pasal... Black Eagle, setakat ini saya belum boleh dapatkan kepastian lagi. Cuma, mereka semakin tergugat dengan serbuan pasukan kita ke atas makmal pemprosesan dadah mereka," ujar Mustaqim. Ada riak kekecewaan di sebalik wajahnya.

ASP Alaudin mengangguk lagi dengan laporan ringkas daripada Mustaqim. Dia bangun dari duduk seraya memandang wajah orang bawahannya satu per satu. Wajah pucat Delisha menjadi fokus utama lelaki berusia 40 an itu.

"Bagus semua! Saya sangat berbangga dengan pencapaian dan prestasi kalian dalam membanteras Black Eagle. Tapi, selagi Zamrud tidak ditangkap, selagi itu kita tak menang. Sekarang, semua boleh bersurai. Sarjan Delisha, kamu tunggu sekejap. Inspektor Mustaqim sekali," arah ASP Alaudin.

Serentak, pasukan polis bangun dari duduk dan memberikan tabik hormat kepada ketua mereka. "Arahan diterima tuan!" ujar mereka seraya melangkah keluar dari bilik gerakan.

Suasana terasa dingin buat seketika. Seakan-akan berada di kutub ais saja situasi tika itu. Lebih-lebih lagi, pandangan tajam ASP Alaudin terhadap Delisha dan Mustaqim. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan bersama dua orang anak buahnya itu.

"Seperti yang kamu berdua sedia tahu, saya akan panggil anak buah saya jika mereka buat sesuatu yang buat saya tak puas hati."

Kata alu-aluan dibuka. ASP Alaudin berdiri tegak sambil berpeluk tubuh. Wajahnya tegang tanpa senyuman. Keluhan berat terlepas dari bibir lelaki itu. Seakan-akan melepaskan beban di bahunya.

"Maaf tuan..."

Mustaqim dan Delisha terjeda tatkala mereka memohon maaf secara serentak. Pandangan dua rakan sejawat itu saling bersatu. Namun, hanya seketika cuma apabila Delisha mengalihkan pandangannya. Ada getaran yang mula menerajui sukma tatkala anak mata Mustaqim menusuk kornea matanya.

"Saya mulakan dengan Sarjan Delisha. Apa yang kamu cuba sembunyikan daripada pasukan kamu sendiri? Boleh kamu jawab soalan saya?"

Apabila soalan itu menusuk telinga Delisha, saat itu juga wajahnya mula terasa membahang. Debaran jantung mula dipalu kuat. Sungguh, Delisha kaget. Soalan itu seakan-akan menampar wajahnya.

"Sarjan Delisha, tolong jawab soalan saya. Sekarang!" tegas ASP Alaudin. Kedua belah tangan dihentak ke atas meja. Menggertak Delisha yang mula berwajah kelat masam.

Kepala Delisha mula tertunduk tatkala sergahan ASP Alaudin menusuk sukmanya. Gerun. Sungguh, mahu diluah mati emak. Ditelan mati bapak. Delisha dilema! Kebenaran ini bukan saja menyakitinya malah akan menyakiti Mustaqim.

"Saya..."

Delisha jeda.

Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan. Gadis berjas hitam itu berdeham sambil mengenggam kedua belah tangannya.

"Sa... saya menghidap barah paru-paru, tuan. Jangka hayat saya... hanya tinggal lima bulan saja lagi. Tapi tuan... saya rahsiakan semua ni sebab saya masih nak berkhidmat untuk negara! Ini jiwa saya!" kata Delisha tanpa berselindung. Air mata mula membasahi pipi mulusnya.

Alangkah luruhnya jiwa Mustaqim saat mendengar pengakuan Delisha. Dunianya seakan-akan malap buat seketika. Jiwanya musnah. Jadi benar. Intuisinya benar mengatakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh Delisha.

ASP Alaudin turut terhenyak dengan pengakuan Delisha. Tubuhnya kembali ditegakkan. Wajahnya diraup kasar. Sudah tentunya dia sesak mendengar pengakuan secara langsung Delisha. Gadis itu merupakan seorang yang mempunyai skill yang bagus. Prestasinya tidak pernah mengecewakan. Namun, ASP Alaudin belum habis berbincang.

"Inspektor Mustaqim, saya tak ada soalan nak tanya kamu. Cuma, bagi pihak keluarga kamu... saya nak kamu fikir masak-masak. Adakah kamu masih mahu meneruskan pekerjaan ini?"

Tatkala itu, Mustaqim yang merasakan dunianya malap serta-merta tersedar. Wajah ASP Alaudin ditatap dengan tatapan sayu. Oh sungguh, Mustaqim letih. Belum lagi dia menerima kematian abahnya dengan ikhlas, dia menerima pula kejutan mengenai gadis kesayangannya. Kini, ditambahkan pula dengan konflikbersama ibunya.

Sungguh, Mustaqim buntu.

Sudah tentunya dia mahu meneruskan impiannya menjadi anggota polis. Meskipun dihalang oleh ibunya. Meskipun dia tahu, hidupnya seakan-akan tergantung dengan pekerjaan ini.

"AISAR, aku rasa hidup aku akan musnah sekelip mata lepas habis SPM nanti," keluh Inara tatkala Aisar sudah duduk di atas pangkin di halaman rumah mereka. Keluhan berat terlepas dari bibir si gadis bertudung sarung itu. Angin petang yang menampar roman wajah sudah tidak terasa tenang.

Mendengar keluhan Inara membuatkan Aisar tersenyum. Menyembunyikan tawa melihat wajah monyok Inara. Tak mahu angin kus-kus Inara membadai persahabatan mereka. Aisar serik.

"Relakslah, Nara. Kau selalu dapat A kut subjek Biologi. Dah! Jangan stres sangat. Kita masih ada dua paper lagi untuk ulang kaji. Nah, apa kata kau makan jajan dulu," kata Aisar. Sebungkus Super Ring diberikan kepada Inara.

"Tapi, soalan tadi susah sangatlah. Aku dah check balik tau tak soalan tadi. Nak match jawapan aku. Macam banyak saja yang salah. Aduh! Kalau macam ni... aku tak boleh jadi doktorlah kan," keluh Inara seraya menyembamkan wajahnya di atas tapak tangan. Nada suaranya sudah bergetar menahan sebak.

Kecewa!

"Inara sayang... janganlah..."

Tak semena-mena, Aisar kematian kata tatkala telinganya dipiat oleh emaknya. Mengadu kesakitan pemuda itu tatkala menerima serangan hendap emaknya. Sakitnya tak boleh bawa bincang!

"Sayang... sayang. Kamu jangan nak gatal sangat eh. SPM pun tak habis lagi dah nak sayang-sayang," marah Puan Suhaila yang sudah meletakkan sepinggan pisang goreng di atas pangkin. Dibantu oleh Airis yang membawa sedulang minuman sebagai minum petang.

"Ala mak, Aisar sedang menggunakan pendekatan psikologi  nak pujuk Nara. Dia tengah sedih kut sebab subjek Biologi tadi. Aisar cubalah pujuk dia dengan panggil dia sayang. Ala, macam bapa pujuk mak bila merajuklah," jawab Aisar. Pemuda itu tersengih kelat sambil mengusap telinganya yang pedih.

"Apa kejadahnya pendekatan psikologi? Airis rasa itu pendekatan miang adalah. Huh! Makin murung Kak Nara bila abang panggil dia macam tu," ejek Airis seraya melabuhkan duduknya di sebelah Inara.

Melihat telatah keluarga Aisar serta-merta membuatkan segaris senyuman terukir di bibir Inara. Ada saja usikan yang membuatkan Inara terhibur. Seakan-akan, masalah yang membelenggu fikirannya dibawa jauh.

"Pisang goreng dah ada. Sekarang, ibu tambah dengan kuih bengka pula. Kan makin meriah minum petang kita hari ini. Aisar, baca doa," kata Puan Kirana yang baru menghampiri pangkin.

Melihat kuih bengka di atas pangkin membuatkan anak mata Aisar semakin bersinar. Itu kegemarannya! Tiada lagi kuih bengka yang dapat mengalahkan kuih bengka Puan Kirana itu. Lantas, Aisar menadah tangan dan mengetuai bacaan doa.

Buru-buru, pemuda itu mencapai dua biji kuih bengka lalu disuapkan ke dalam mulutnya. Rakus. Terasa kemanisan adunan kuih bengka membuatkan selera Aisar semakin bertambah.

"Kenapa Nara? Susah hati lagi ke pasal paper Biologi?" soal Puan Suhaila. Teh panas dihulurkan kepada Puan Kirana.

Inara mengangguk lemah. Mahu saja dia menangis apabila mengingat akan jawapan yang diberikan ketika peperiksaan SPM pagi tadi. Hatinya tidak tenteram. 

"Kan ibu dah cakap, jangan semak jawapan Nara. Sebab itulah, Nara jadi overthinking. Sudah. Sekarang, jangan fikir benda yang dah lepas. Inara dah cukup berusaha selama ini. Ibu yakin, Nara akan capai target Nara," pesan Puan Kirana sambil mengusap kepala anaknya.

Inara hanya tersenyum hambar. Hatinya sedikit terpujuk dengan tutur bicaranya ibunya yang lembut. Itulah kuasa pujukan seorang ibu. Bisa menenangkan gundah di sudut hati anaknya.

"Betul tu Nara. Kau janganlah... susah hati sangat pasal Biologi. Kalau kau susah hati juga, kau pandanglah muka aku yang kacak ni. Mesti kau senang hati. Biasalah, aku kan ada aura karisma," kata Aisar dengan mulut yang penuh.

"Karisma? Cita-cita kau sendiri pun kau tak jelas! Macam mana nak ada aura berkarisma?"

Aisar menggelengkan kepalanya dengan ejekan Inara. Jari telunjuk digoyang-goyangkan. Teh panas dihirup bagi membasahkan tekaknya. Sungguh, ejekan Inara itu benar-benar mencabar dirinya.

"Aku dah ada cita-cita jugalah macam kau. Aku... nak jadi askar macam bapa aku. Dalam masa yang sama, aku nak jadi bodyguard kau juga. Boleh tak ibu?"

Tak semena-mena, Airis terkekek dengan omongan selamba abangnya. Hatinya benar-benar tercuit lucu. Ada sajalah angan-angan mat jenin abangnya ini. Senak perut Airis akibat ketawa tanpa henti.

"Ibu? Kamu nak jadi anak ibu ke?"

"Nak! Aisar nak jadi anak ibu supaya Aisar boleh jaga Inara sampai bila-bila," jawab Aisar sambil tersenyum lebar.

Inara menjelingkan matanya ke atas. Meluat pula dia melihat sikap gedik Aisar itu. Tak hingin dia bila Aisar jadi anak kepada ibunya. Minta simpang! Inara tak berkenan langsung.

"Jadi betullah, apa yang mak rasa selama ini?" soal Puan Suhaila. Pisang goreng dicapai lalu dijamah.

"Rasa apa mak? Rasa sayangkan mak..."

"Rasa yang kamu sukakan Inara lebih dari seorang sahabat. Bukan main lagi nak jadi anak mak cik Ana. Nak jadi bodyguard Nara sampai bila-bila," pintas Puan Suhaila. Senyuman mengejek mula terukir di bibirnya. Sekali sekala, mengusik Aisar yang suka berdrama itu.

Tak semena-mena, Aisar terbatuk-batuk dengan omongan spontan ibunya. Anak matanya sudah dialihkan ke wajah emaknya. Dada ditepuk-tepuk apabila dia seakan-akan tersedak kuih bengka Puan Kirana.

"Aduh mak. Soalan mak lebih susah dari soalan add math kita orang! Jangan tanya macam tu depan Nara, mak. Boleh mati tersedak anak teruna Encik Yusof karang," ujar Aisar dalam nada yang berbisik. Sesak rasanya bila Inara sudah memandangnya dengan seribu persoalan.

Puan Suhaila tertawa kecil. Bahu Aisar ditepuk-tepuk. Alahai, anak terunanya sudah meningkat dewasa. Sudah pandai bermain soal hati dengan anak jirannya. Seakan-akan, baru semalam saja dia melihat Inara dan Aisar bermain dan bergaduh seperti kanak-kanak yang lain. Masa memang berlalu begitu pantas.

"Kalau Inara dengan Aisar berjodohan, saya okay saja, Su. Kita dah kenal perangai dia orang ini macam mana. Tak adalah saya susah hati fikirkan siapa yang jaga Inara nanti," usik Puan Kirana pula.

"Ibu, apa ibu bergurau ni. Nara tak habis SPM lagi, okay," keluh Inara. Malu pula bila diusik sebegitu rupa.

"Kalau habis SPM bolehlah kan?" soal Airis pula. Mewakili emaknya yang sudah terkekek. Seronok mengenenkan Inara dan Aisar.

"Tak! Tak kiralah lepas habis SPM sekali pun, hubungan Inara dengan Aisar... hanya sekadar sahabat. Aisara, selamanya akan jadi sahabat. Tak lebih dari itu," tegas Inara. Gadis itu semakin tak keruan dengan usikan yang diterimanya bertubi-tubi.

Airis memandang wajah abangnya yang sudah terkesima. Lantas, bahu abangnya ditepuk. Tubuh didekatkan ke arah Aisar yang kelihatan kecewa. Seketika, dua beradik itu saling berpandangan.

"Nampaknya, abang kena reject dengan Kak Nara lagi. Kali ini, dia reject bersaksikan ibu dia pula tu. Mohon bertabah ya abangku sayang," usik Airis sambil mengenyitkan matanya.

Aisar mendengus. Tubuh adiknya ditolak. Mahu saja Aisar tumbuk muka Airis yang kelihatan seronok mengejeknya. Sudahlah dia dimalukan oleh emaknya, kini malunya semakin bertambah apabila ditolak mentah-mentah di depan Puan Kirana.

Bersambung...

Thanks korang sudi baca karya syaf 💕

Sepanjang 11 bab ini, Syaf nak tanya koranglah. Adakah elemen dalam karya ini menjadi atau kekok? Syaf cuma nak sedikit feedback sebab komedi bukan makanan utama syaf dalam penulisan. Ini sekadar trial 🤭

Kalau sukakan karya ini, nak butang vote boleh? 👉👈

Sedutan episod 12...

"Kau jangan nak jadi mangsa keadaanlah! Sudah ada bukti depan mata. Kau nak buat benda tak senonoh dengan Marissa! Aku tak sangka, perangai kau memang macam syaitan!"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top