A ⚡ 29
A D A D A
- - - - - - - - - -
" Kita kena lindungi Adada! "
.
.
.
"HUH, tak kalah lagi?"
"Tulah fasal. Dah nak dekat berapa minit dah lawan dengan dia ni."
Tebal muka mereka berdua bersembang di hadapan penjahat. Memang lawan hukum anime shonen betullah. Waktu beginilah watak utama harus terkejut atau fikir cara nak tingkatkan diri dalam masa yang singkat. Mana ada dia orang tiba-tiba terbang bercakap-cakap macam duduk melepak dekat kedai mamak.
"Bila dia nak kalah ni?"
Lihat itu! Sempat lagi sambung merungut!
"Ini bukan tempat bermainlah!" Keraunos menghentikan gosip mereka dengan terus menghunus pedang ke arah Adada. Pantas Adada hilang lalu muncul di belakang Keraunos. Pedang itu diangkat laju ke arah pihak lawan hingga sekali lagi ia berlaga.
"Huh!" Keraunos cuba menarik pedangnya. Namun, ia masih terlekat kuat bersama pedang Adada!
"Sedutan Voltra!" Kuasa halilintar dari Keraunos segera masuk melalui pedang milik Adada. Nampaknya Adada menggunakan cara lain untuk menyerap kuasa Keraunos setelah serik berlaga pedang dengan sang musuh.
Keraunos lantas meneranjang kuat Adada tetapi pedangnya langsung tidak terlepas. Tiada pilihan lain, dia terpaksa melepaskan pedangnya lalu sekali lagi melepaskan serangan dengan menendang dagu Adada. Seperti diagak, pihak lawan dapat mengelaknya sekelip mata.
Adada menyembunyikan senyumannya tatkala melihat pihak lawan sudah berdesih-desah. Rasa kemenangan yang tenggelam tadi kian cerah menerangi. Tetapi tidak perlu terlalu yakin sangat. Silap-silap yang cerah itu badannya yang terkena elektrik nanti.
"Bzzz.. bzzz..." Adada meleraikan kedua pedang itu dengan mudahnya. Kini pedang milik Keraunos menjadi milik Adada untuk beberapa saat. Tangan Adada pantas melepaskan pedang tersebut apabila tiba-tiba tangannya terkena renjatan elektrik, menyebabkan pedang itu tidak sengaja bertukar tangan.
"Berani kau cuba ambil pedang aku..." Keraunos menyambut semula pedangnya. Cengkamannya dieratkan. "...mari aku ambil kuasa aku kembali pula!'
Pantas kakinya diorakkan melalui udara terus ke Adada. "Shring!" Pedangya dilibaskan melepasi rambut Adada sebelum pedang itu melibas angin sekali lagi. Adada sebaliknya menggunakan kelajuannya tadi untuk mencalarkan dada Keraunos tanpa sut itu.
Keraunos segera mencapai tangan Adada, kemudian menumbuk anak muda itu sekuat hati. Sederas angin Adada terjatuh ke bawah akibat daya kuat dikenakan oleh Keraunos itu. Daun-daun cepat-cepat berselirat membentuk tikar mengkuang yang menghalang belakang Adada dari terhempap terus ke tanah.
"Halilintar!" Gempa yang melihat cuba bangun untuk membantu. Tidak semena-mena dia terjatuh terduduk semula ketika rasa sakit pada betisnya mula mencucuk. Laju Gopal mendapatkan teman baiknya yang sudah merengang kesakitan. "Kau okey tak, BoBoiBoy? Jangan paksa diri kau! Luka kau tak sembuh lagi!"
"Aku okey..."
"Duk!" Terhinjut bahu mereka berdua saat sebuah badan mendadak jatuh di hadapan mereka. Nasib baik ada tangan bayang yang menghindari tubuh itu dari pecah terkena impak daya pecutan ke bumi Kilas.
Keraunos menghayunkan pedangnya ke langit sambil badannya laju dikawal menuruni pantas ke arah Adada. Belum sempat bilah pedang itu bertemu dengan leher Adada, bulu romanya meremang serta menegak. Cepat-cepat dia mengelak hingga ke atas lantas musuh di hadapannya langsung dilibas.
"Bayang?" Tegang suara Keraunos menyedari dirinya ditipu. Tiba-tiba tubuhnya diselindungi bayang yang gelap dan serentak dengan itu, satu laungan ditangkap oleh telinganya.
"Cakaran Bayang!" Sebuah tangan gergasi membelah kuat kedua belah tangannya. Bergema bunyi tulang yang patah diselangi teriakan kesakitan dari si mangsa. Malah pedang yang dipegangnya itu terlepas lalu terpacak ke tanah. Fang laju menangkap Keraunos menggunakan kedua tangan gergasinya. "Sekarang kau dah tak boleh buat apa..."
"ARGH!" Fang tercampak jauh ke pokok ketika perutnya tidak fasal-fasal ditumbuk kuat oleh seseorang. Belum cukup itu sahaja, sebuah cahaya merah terang menyala datang menamparnya dari atas. "Pelindung Bayang!"
Bergegar pelindungnya ditumbuk berkali-kali dari luar. Marah sangat dia ini! Sampai tidak stabil pelindung bayang dibuatnya! Alur elektrik itu juga sudah mula memasuki celah-celah pelindung itu hingga mencalarkan lengan dan wajahnya.
"Bzzz..." Tangan itu berhenti menyerang Fang, sebaliknya menangkap bebola ais yang hampir mengenai tubuh asalnya. Ais yang diangkat oleh tangan bayang Fang memberi pandangan mengejek ke arah Keraunos. "Apa kau kata bertemu buku dengan ruas, bukan serang yang lemah."
"APA KAU KATA?" Merah wajah Fang saat pelindungnya mendedahkan mukanya. Rasa ada serampang dua mata sahaja di dalam ayat Ais itu.
"Huh..." Tergoyang-goyang kepalanya apabila dia berusaha membangunkan dirinya sendiri. Tangannya yang memegang daun mengkuang beralih tangan ke arah kepalanya. Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. "Aku kena serang ke tadi?"
Saat dibuka mata, kelihatan Keraunos dalam keadaan lemah. Itu memang bagus, tapi... APA YANG ADA DEKAT BELAKANG KERAUNOS ITU? Pantas Adada bertapak atas langit semula. Dadanya berombak kencang melihat tangan-tangan elektrik gergasi yang keluar dari belakang Keraunos. Keraunos pun sudah bagaikan nyawa-nyawa ikan, namun egonya masih mahu bertarung lagi.
"Aku takkan berhenti..." Keraunos menggumam berulang kali. "... aku takkan berhenti sampai aku dapat kau... Adada."
Hrm... rasa nak tidur balik sahaja macam ini.
"Kalau macam tu berhentilah." Ais selamba menyindir Keraunos seraya tangannya mengawal ceracak ais memerangkap Keraunos. Ceracak itu terus naik satu demi satu setelah ceracak sebelumnya mendidih kesan elektrolisis. "Sebab kau takkan dapat Halilintar!"
"Huh?" Ais terkedu melihat tangan-tangan terkurung di dalam ceracaknya berjaya melepaskan diri. Laju dia mengangkat pelindung ais untuk melindunginya tetapi tangan elektrik Keraunos lebih pantas menyambar. Segera Adada menebas tangan itu hingga terbelah dua, sekaligus menyelamatkan wajah Ais dari menjadi mangsa.
"Ah, kau orang okey tak?" Fang deras terbang mendekati mereka. Dia sibuk melawan tangan yang belakang sampai tidak sempat menyelamatkan Ais dari arah bertentangan. Daun yang berada di puncak pokok sempat menghela nafas, lega. "Fuh, mujur ada Halilintar."
"Ah, hati-hati!" Raut wajah Duri berubah. Duri lekas mengikat Keraunos dari terus mara ke hadapan menyerang mereka. Silap besar bagi Duri apabila Keraunos menggunakan tangan belakangnya bagi menarik Daun jatuh ke bawah. "ARGHHH!"
"BoBoiBoy!" Fang baru sahaja hendak terbang menyelamatkan si Duri, si Duri itu boleh pula selamat bergayut di salah satu pokok. Duri mengurut dada sambil tangannya erat memegang tali berdurinya. "Eh, buat lemah jantung aku je..."
Kita orang yang patut cakap!
Ais melihat Duri yang selamat lantas berpaling ke arah Keraunos yang sudah membebaskan diri dari lilitan Duri. Sebuah tembakan dilepaskan. Hampir berderau darahnya tatkala Keraunos muncul betul-betul di hadapan matanya. Pantas Adada yang melindungi Ais membelah Keraunos, menyebabkan Keraunos tercampak beberapa jarak ke belakang.
'Aku cuma perlu pegang budak Adada tu je!' desis Keraunos di dalam hati. Tangan-tangan elektrik dari belakang keluar secara berpusu-pusu ke arah Adada. Adada segera melibas tangan-tangan yang menuju ke arahnya. Ada yang datang dari kanan, dari depan... dan juga dari atas!
"Fuuuuh!" Fang meniupkan api bayang terus pada tangan elektrik Keraunos itu. Tangan yang bertembung dengan api bayang Fang serta-merta terhapus. Fang menoleh ke arah Adada yang masih menepis tangan Keraunos dari menggapainya. "Adada, kau kena pergi terus serang Keraunos. Ais dengan Duri..."
"Kita kena lindungi Adada!" Ais dan Duri mengangguk serentak, memahami isyarat Fang. Duri lantas berpindah tempat sementara Ais dan Fang menyerang tangan-tangan yang cuba menghalang laluan Adada dari tepi.
Adada sepantas kilat menuju ke hadapan. Semuanya berlaku sekelip mata, namun lambat bagi kedua pengguna kuasa Voltra tersebut. Keraunos berkali-kali menyerang Adada sambil cuba mengelak serangan dari belakang oleh Duri serta tembakan dan api bayang yang menghalanginya. Manakala Adada pula hebat melibas apa sahaja menghalang laluan di hadapannya.
Sasarannya cuma satu...
'Kau sendiri manusia, kau takkan mampu tahan kalau diserang voltran berkali-ka...' Monolog Keraunos terhenti. Tanpa sedar dia terundur selangkah di atas langit. Adada itu... dia menyerap setiap arus elektrik yang terkena pada badannya?
"Huh!" Sekelip mata sahaja, Adada kini berada di hadapan matanya.
"PEDANG VOLTRA SLASH..." Pedang Adada dijulang, berubah menjadi pedang berelektrik yang dua kali ganda besar dari tubuhnya. "BERTUBI-TUBI!"
Berkali-kali tubuh Keraunos dilibas-libas, dibelah-belah serta dihiris-hiris tanpa belas. Malah, darah yang terbit dari luka Keraunos juga jatuh sebagai arus elektrik. Begitu penangannya terkena serangan dari pemilik asalnya sendiri hingga putih kornea mata. Serangan itu terhenti apabila masing-masing sudah melelahkan diri sendiri.
"Huh... huh..." Keluar asap elektrik dari mulut Adada. Nafasnya juga dihela semakin berat tetapi dia gagahkan diri juga untuk menyentuh bahu Keraunos. Mengakhiri semua ini.
"AKU TAKKAN BAGI KAU SERAP KUASA NI!" Keraunos menggunakan sisa akhirnya membawa Adada naik ke atmosphera. Bukan di atas langit biasa, namun hampir melepasi langit planet ini.
Darah yang mengalir dari tubuh Keraunos mula mengalir pada lengan Adada ketika Adada berpaut pada kaki si musuh. Berkerut-kerut Adada menahan perit apabila darah bercampur elektrik masuk ke dalam tubuhnya. Sampai sahaja di atas langit, boleh dilihat dari bawah kekecohan bandar dan rakyat yang layaknya seperti semut kecil.
"Kalau aku tak dapat, kau pun tak boleh!" Keraunos terus meneranjang kuat Adada. Terbuntang mata Adada saat tangannya terlepas pautan. Kakinya juga tergapai-gapai di udara. Mungkin dia terlalu penat untuk mengapungkan dirinya sendiri semula lagi. Tidak semena-mena, matanya bertembung sama dengan mata Keraunos.
Mata itu... seakan-akan berpuas hati dapat menyingkirkannya.
"Halilintar!"
Tangannya disambut oleh seseorang. Rupa-rupanya... Duri yang berjaya menyelamatkan Adada daripada terjatuh. Mujur tadi dia sempat bergayut pada kaki Keraunos. "Ergh.. Halilintar, kau okey?"
"Duri..." Adada terkesima memandang Duri. Tidak semena-mena mereka bergoyang-goyang seolah-olah menari dangdut. Keraunos nampaknya cuba melepaskan dirinya lagi!
Kening Duri sudah berkerut-kerut. Kalau terlepas mereka berdua, alamaknya makan gulai nangkalah kawan-kawannya nanti. "Ergh..." Tangannya juga bercalar-balar kerana hampir tergelincir dari terus memegang tali berdurinya itu.
"Pegang kuat lagi Duri!" suara Ais yang dipapah oleh Fang. Ais laju membekukan Keraunos membuatkan pergerakannya terbatas. Tangan bayang Fang laju mengangkat Duri dan Ais sebelum...
"EARGHHH!" Keraunos mendidihkan ais yang memerangkapnya. Dia sekali lagi berjaya melepaskan diri.
"Jangan lari..." Jeritan Adada disambung Duri. "AH, JANGAN LARI!"
Duri pantas memancarkan ikatan talinya mengikat kaki Keraunos, menambahkan daya graviti pada Keraunos. Keraunos mengulum kata dalam amarah. "KAU LAGI?"
"Duri!" Ais berpaut pada bahu Fang lalu selamba badak memijak bahu lelaki itu. Terus dia mengumpul daya di bahu Fang kemudian berpaut pada kaki Duri. Tidak mungkinlah dia membiarkan si Kerang Nose membawa adik kembarnya lari, eh terbang!
Setiap pegangan itu diikuti oleh Ais, selepas itu Fang barulah berakhir dengan Adada. Fang menahan pergerakan Keraunos menggunakan tangan bayangnya, sekaligus menggelapkan permandangan si musuh. Terhuyung-hayang tubuh mereka berempat gara-gara panik Keraunos. Cas-cas elektrik dari Keraunos pun ada terkena beberapa dari mereka.
"Serap kuasa dia sekarang, Halilintar!" arah Fang.
"Tak apa ke?" Ragu-ragu Adada dibuatnya, risau kalau apa-apa terjadi pada mereka.
Ais yang memahami kerisauan Adada pantas mencelah. "Serap je, kita orang akan okey! Kalau tak... dia takkan berhenti!
"Okey..." Adada memejamkan matanya. "SERAPAN VOLTRA!"
Cahaya merah serta-merta keluar dari badan Adada serta badan Keraunos. Arus-arus elektrik mula mengalir bak keretapi menuju ke arah Adada. Mereka berempat sama-sama menjerit melawan pekikan Keraunos yang bernada kesakitan. Masing-masing tidak mahu menyerah dan ingin berlawan hingga akhirnya.
"Huh..." Keraunos kini terasa berputus asa. Kalau dibiarkan, dia akan mati di tangan Adada. Padahal dia sudah menyimpan dendam untuk memiliki kuasa Santriantar. Tidak mungkin dia akan mati sebabkan itu.
"Duk!" Kepala Duri ditendang Keraunos. Serentak dengan itu, Fang segera menyelamatkan ketiga-tiga kawannya dari terjatuh... sama seperti Keraunos yang membiarkan dirinya menjunam ke bawah.
Baik dia meninggal dengan cara ini...
"DUUUM!"
Berkepuk-kepuk asap berkumpul berhampiran lubang akibat hempasan mendadak itu. Kabus yang melindungi lubang itu kian menghilang, menampakkan jasad lemah si Keraunos. Kilat-kilat serta guruh juga kini berhenti sambar menyambar dan hanya warna mendung menghiasi langit. Permandangannya tiba-tiba dihalang oleh seseorang yang sangat dikenali.
"Menyedihkan..." Hetir merenung 'rakan lama'nya. Voltrabot di dalam pelukannya dipegang erat. "Ini ke apa yang kau nakkan sebenarnya?"
"Er... ar..." Kepalanya berserabut dengan suara-suara dan ayat yang bercampur-campur. Akan tetapi, kotak suaranya langsung tidak dapat mengeluarkan sepatah ayat. Seluruh badannya terkaku seperti mayat.
"Kau..." Hetir mengalih pandangan daripada si musuh yang cuma mampu menggerakkan bola matanya. Matanya terpaku pada pedang Keraunos yang terpacak tidak jauh darinya. "Kalau boleh, aku nak tikam kau, berkali-kali. Macam apa kau buat pada Santriantar."
"Tapi aku tahu Santriantar takkan buat macam tu. Sebab dia bukan pembunuh dan tamak macam kau!"
Meskipun ditengking sebegitu, mata Keraunos membalas jelingan Hetir. Jadi, apa? Ini salah aku? Agungkan lagi si Santriantar itu? Kalau Santriantar bukan pemegang kuasa voltra, mesti dia tak akan mati punya. Langsungnya, si tamak lagikan gila masih tidak mahu mengakui kesalahan diri.
Amarah Keraunos mulai menggelegak. 'Ini bukan salah aku. Tak ada orang yang halang aku. Mereka yang patut rasa bersalah! Santriantar pun bodoh percayakan orang. Bukan salah aku!'
"Cukup, Keraunos."
Fikirannya serta-merta kosong. Pupil matanya digerakkan ke atas. Tidak mungkinlah... Santriantar?
"Kau dah melampau Keraunos."
Bayangan itu bertukar drastik ke realiti. Ah... cuma Adada. Sayup-sayup kedengaran suara-suara lain menjadi latar belakang. Apa dia cuba mimpikan? Santriantar sudah pun mati.
Kulit kepalanya terasa ditekan seseorang.
"Serapan Voltra!"
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top