PROLOG

Aku merenung ke siling bilikku. Kipas berputar lebih pantas dari saat yang berdetik. Jam menunjukkan pukul 12 malam. Aku sepatutnya sudah pun melelapkan mata, namun peristiwa itu menyebabkan mataku terbuka dengan luas. Apatah lagi, memori lama yang memainkan semula kata-kata orang terhadapku, setelah 15 tahun aku mengenali kehidupan ini.

"Apa yang kau perlu buat hanyalah bekerja keras sampai kau berjaya."

Entah berapa kali agaknya perkataan ini bermain dalam kotak fikiranku? Kau bayangkanlah, 24 jam perkataan itu terngiang-ngiang di telingaku tanpa henti. Aku benci betul dengan ayat ni.

"Walaupun mereka semua mempunyai bakat, tapi mereka semua bekerja keras."

"Kalau kau berusaha betul-betul, kau akan boleh kalahkan orang yang berbakat."

Diamlah. Apa saja yang kau faham mengenai aku? Dilahirkan sebagai manusia yang tidak mempunyai rupa, kurang pandai, masih naif walaupun ujian banyak melanda diri aku, serta selalu dipandang rendah?

Kau tak tahu, betapa aku terseksanya untuk meneruskan kehidupan di dunia ni. Kau tak tahu, usaha yang aku lakukan sebelum ni. Kau tak akan tahu, bila orang yang berbakat mencuri semua lampu pentas di hadapan kau sendiri, setelah kau menangis dan kerahkan semua tenaga kau untuk kejayaan itu.

Kau tak akan tahu, kerana kau ada bakat.

Kata-kata itu tidak lebih dari sekadar penyedap hati. Ianya merupakan kata-kata untuk melepaskan diri dari realiti. Kata-kata peransang dan motivasi.

Tapi hakikatnya sekadar sampah semata.

Ha, aku akui yang aku sangat bencikan orang yang berbakat. Tak kiralah apa yang kau katakan, bakat tetap bakat. Anugerah tetap anugerah. Manusia pilihan Tuhan. Aku bukan manusia terpilih. Aku manusia biasa.

Terlampau biasa, tiada apa yang istimewa.

Kalau ditolak tambah dan didarab bahagi, usaha seorang manusia yang tidak mempunyai sebarang bakat selama lima tahun sama dengan satu tahun ditambah dengan pengalaman seorang manusia yang sangat berbakat.

Jauh beza, bukan?

Tapi, tak kiralah aku cakap macam mana pun, kau tetap akan membantah, memperlekeh dan menghina aku. Kau mungkin akan menganggap yang aku ni pemalas. Adat bagi kau, kerana kau tak faham pengorbanan aku.

Namun, inilah hakikat yang aku kena terima. Hakikat bahawa dunia ini kejam dan tidak adil. Aku berusaha bersungguh-sungguh, sedangkan orang lain boleh goyang kaki dan berjaya. Ditambahkan lagi dengan kesengsaraan yang paling menyakitkan, iaitu bila kau usaha sehabis baik pun kau masih tidak berjaya. Bukan setakat tidak berjaya, tetapi juga digelar sebagai sampah.

Kalau usaha aku berbayar pun, belum tentu aku akan dapat "bayaran penuh". Masih cacat dan cela. Cela di mata engkau. Cela di mata orang lain. Cela di mata aku sendiri.

Akhir sekali, apa yang kau akan hamburkan kepada aku?

"Kau kena bersyukur dengan apa yang ada."

Ya, kau pandai berbicara. Bersyukur. Memang bersyukurlah kau bila kau ada apa yang aku mahukan. Cuba kau jadi macam aku, apa kau ingat kau boleh bersyukur? Yang paling memberi impak penghinaan bagi aku adalah celah mana kau fikir aku ni tak bersyukur?

Kau tak payah berhujah dengan menggunakan ayat ni kepada aku. Kalau bab berusaha ni aku lebih tahu semuanya. Sangat tahu. Sebab aku yang sengsara.

Tapi, usaha aku tetap usaha aku. Kau kutuklah, makilah, dan hinalah aku sebanyak mana yang kau mahukan, tetapi aku tetap mahukan apa yang aku mahukan.

Sebab aku layak. Sebab aku juga manusia seperti kau.

Atau, sekurang-kurangnya itulah yang aku rasa. Aku tak peduli pun pendapat dan justifikasi kau. Sebab kau orang yang berbakat dan aku pula tak ada apa-apa walaupun aku lagi banyak berusaha daripada kau.

Kegelapan bilik ini disinari dengan cahaya lampu. Cahaya lampu itu pula berasal dari telefon bimbitku yang terletak di sebelah bantalku. Hatiku berombak, pantas mencapai telefon ini. Terdapat satu mesej daripada orang yang aku tunggu-tunggu. Hati ini mula berharap, sementara akalku mencegah pemikiran tersebut.

"Kau jangan nak berharap sangat. Kau ingat kau akan dapat apa yang kau nak ke? Sudah bertahun-tahun hidup pun masih lagi naif. Berhenti berharap dan bersedia dengan realiti kehidupan."

Aku tahu perkara itu lebih daripada kau. Aku faham sangat. Cuma, salahkah aku mengharapkan sedikit kebaikan?

"Jangan nak perasan. Sedarlah sikit. Kau bukannya sesiapa. Kau manusia biasa yang tak ada dan tak akan ada apa-apa."

....

Aku membuka mesej tersebut.

"Apa yang aku fikirkan mengenai kau? Aku rasa kau ni seorang yang baik hati, walaupun kau selalu berkata-kata negatif dan kesat. Walaupun kau macam ni, engkau masih lagi disayangi semua orang yang mengenali engkau. Disebabkan itulah, kau jangan mengalah. Kau kena berusaha lagi. Usaha untuk berubah menjadi lebih baik."

Hm. aku tang sangka pula bila kena tolak perempuan akan bagi ayat macam ni. Bukan jawapan yang aku nak.

Bekerja keras?

Habis tu sekarang ni aku tengah buat apa? Bukan bekerja keras ke? Suka-suka hati je nak suruh aku bekerja keras dengan lebih lagi. Kau nak aku buat apa lagi?

Aku sungguh tak berkenan dengan ayat dia yang terakhir tu, seolah-olah aku ni memang tak berusaha langsung. Aku tak suka.

Ya, aku benci dia tapi pada masa yang sama aku sayangkan dia. Walaupun aku benci dia cakap macam tu, tapi berusaha je la yang aku ada. Itulah senjata aku yang paling agung, diberikan oleh Tuhanku sendiri.

"Adakah ini merupakan penolakkan daripada engkau?"

Aku menekan butang hantar. Mataku masih tidak berganjak memandang telefon bimbit ni. Untuk kali ni, aku kena lebih positif. Mana la tahu yang dia akan menerima aku?

"Kau yakin ke dengan fikiran positif kau tu?"

....

Tak. aku tak yakin langsung. Aku telah pun disumpah oleh kebanyakkan musuh aku, iaitu aku ni manusia yang gagal. Malah, dalam keluarga aku pun, aku dianggap sebagai manusia yang paling gagal. Kalau mengikut logik fikiran aku yang bijak ni, mestilah dia akan menolak.

Telefonku bergegar. Dengan pantas, ibu jariku menekan mesej tersebut.

Hm.

"Aku anggap yang kau ni sebagai kawan aku je."

Apa yang kau nak suruh aku fikirkan lagi? Cakaplah?

Aku ni orang anggap je berfikir negatif. Hakikatnya, aku merupakan manusia yang paling realistik. Aku memang dah tahu lama, dan disebabkan itulah aku mencuba sahaja, supaya hati aku berhenti berharap.

"Ya, berhenti berharap. Harapan ni sampah."

Ya, semuanya dah berakhir. Lagipun, aku ada cita-cita yang lebih besar. Lebih besar daripada semua manusia yang aku kenal.

Aku lain. Takdir tak akan menyebelahi aku. Aku tak bergantung kepada takdir. Aku berusaha. Aku akan ubah nasib aku sendiri, dengan tangan aku, dengan keizinan-Nya.

Sebab, itu je yang aku mampu buat.

Aku benci perempuan ini kerana dia merupakan perempuan yang sangat berbakat. Aku pula, tidak mempunyai sebarang keistimewaan. Semuanya aku capai dengan kelemahan aku sendiri.

Memandangkan semua ini telah berakhir, maka aku akan mula dari bawah balik, seperti biasa. Aku sekarang ni berada di garisan permulaan. Dari kosong. Disebabkan semua orang mendesak aku untuk berusaha dengan lebih lagi, kau orang semua tunggulah. Aku akan menjadi orang yang paling hebat. Aku akan jadi manusia yang lebih baik daripada semua orang. Aku akan menjadi orang yang paling teratas di dunia ni, walaupun tiada sesiapa pun yang akan menghargai aku.

Perjalanan aku dengannya dah habis. Tapi, perjalanan yang baru akan bermula. Aku rasa, ini merupakan perjalanan yang sangat panjang. Lebih mencabar. Tak apa. Aku nak kau ikuti perjalanan aku ni. Kalau kau ikut, terus-terang aku katakan, aku sangat gembira.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top