07; Cubaan Meneroka Hati Seorang Lelaki
"Ayah!" aku melangkah tergesa-gesa apabila melihat ayah sedang menikmati makan tengaharinya. Leher ayah kurangkul seketika sebelum mengambil tempat duduk di sebelahnya.
Kunyahan ayah terhenti. Pucuk resam yang hampir disumbat ke dalam mulut diletakkan kembali ke atas nasi.
"Ada apa-apalah ni kan bila manja dengan ayah? Nak duit saku?" ayah menebak.
Aku mengangguk bersama sengihan lebar kerana tebakan ayah memang tepat.
"Nak berapa?" ayah tidak banyak songeh. Segera dompet kecil dari kocek bajunya dikeluarkan.
"Lebih dari biasa sebab hari Sabtu nanti Hee Ran ada kerja lapangan." aku menadah tangan tidak sabar.
"Kerja lapangan? Di mana? Kena bermalam di sana ke?" ayah menyoal kerisauan.
"Sekitar empangan dan Tasik Paldang. Sehari je kerja lapangan tu, pergi pagi dan pulang petang." aku berterus-terang. Aku tidak mahu ayah risau atau fikir yang bukan-bukan.
"Bukan ke kawasan sekitar empangan tu keras sikit?" ibu mencelah sebaik menghampiri kami berdua. Sepinggan terung berperisa diletakkannya ke atas meja.
"Aih awak ni, suka sangat dengar cakap-cakap orang. Khabar angin je tu. Pakcik Hong elok je tinggal di sana, menangkap ikan setiap hari. Tak ada pula nak cerita kawasan situ keras." ayah menyangkal.
"Tak ada lah, saya tanya je. Kalau salah, salahlah. Kalau betul.. Kamu, Hee Ran.. Nanti jaga diri. Sentiasa berada dengan kawan-kawan kamu, jangan nak merayap ke kawasan yang kamu tak biasa." ibu mengangkat jari telunjuknya, tegas berpesan kepadaku.
"Baiklah." aku mencebik sebelum menyambar sekeping lempeng bawang, snek kegemaranku dari kecil hingga sekarang.
"Ah.. Ayah. Hari tu ayah cakap, penghuni rumah atas koma. Elok je Hee Ran jumpa dia tiga hari lepas." aku mengunyah lempeng bawang dengan penuh nikmat. Walaupun tanpa sos cicahan, ia tetap sedap dimakan begitu sahaja.
"Kamu ni, biar betul? Semalam Yunho bagitahu ayah yang dia ada melawat lelaki tu di hospital, masih belum sedarkan diri. Macam mana kamu boleh jumpa dia tiga hari yang lepas? Kamu dah salah orang ni?" ayah menolak mangkuk kosong ke tepi. Ayah menyambar sebatang rokok yang tersisip di tepi telinganya.
Tabiat ayah. Lepas makan mesti mahu merokok.
"Mana ada. Dah betullah. Memang Hee Ran pergi ke rumah dia.."
"Kamu pergi ke rumah dia? Buat apa?" ibu seakan terperanjat.
"Ahh..sebenarnya.." aku mencapai sekeping lagi lempeng bawang dan bingkas bangun.
"Hee Ran masuk bilik dulu." pamitku dan beredar dari meja makan dengan tergesa-gesa.
••••••
"Benci betul dengan benda-benda yang senang tular ni. Sekejap je habis." aku melangkah keluar dari kedai serbaneka bersama perasaan kecewa kerana mochi bunga sakura sudah habis terjual.
Penangan Kim Rowoon, pelakon popular lagi kacak pernah memakan mochi itu ketika penggambaran drama 'Terkahwin Tanpa Sengaja'..tanpa diduga, ia menjadi tular di seluruh negara ini.
Tak pasal-pasal mochi kesukaanku yang sebelum ini tiada siapa yang ambil peduli, sold out dalam sekelip mata.
"Menyampah betul." aku berjalan menyusuri kaki lima.
"Menyampah dengan siapa?" pertanyaan dari seseorang membuatkan aku terperanjat sebelum melanggar batang tubuh manusia.
"Ah.. Maaf, maaf." aku mengundur beberapa langkah sebelum mendongak sedikit.
Berdiri Min Yoongi bersama kuntuman senyum yang tidak lekang di bibirnya.
"Awak." tiba-tiba aku tidak puas hati. Dahlah tegur orang secara mengejut, lepas tu berdiri di tengah-tengah kaki lima pula. Dia ingat, dia hero drama?
"Kenapa?" Yoongi menapak, mahu mendekatiku.
"Boleh ke tepi sikit, saya nak lalu." aku mengelak apabila didekati lelaki itu.
"Kalau tak nak?" Yoongi membongkokkan sedikit tubuhnya, mataku ditatap tajam.
"Kalau tak nak..ni haa!" tanpa berfikir panjang, aku terus memijak kaki kanan Yoongi lalu berlari bak lipas kudung.
Padan muka! Siapa suruh halang jalan aku. Dahlah aku tengah kecewa tak dapat beli mochi bunga sakura.
"Song Hee Ran." namaku diseru, seakan ada lelaki berbisik tepat ke telingaku. Larianku terhenti.
Aku memusingkan tubuh, memandang ke serata tempat. Namun tiada sesiapa.
"Song Hee Ran, tolong saya.." suara itu kedengaran lagi. Kali ini dibawa angin sepoi-sepoi bahasa.
Bulu romaku tegak berdiri.
"Ibuuuu...ada hantu!!!" aku menjerit nyaring dan menyambung larianku hingga ke rumah.
••••••
"Bagi kumpulan A, pelajar-pelajar terdiri dari.. Mingi, Yong In, Marco, Hong Joong dan Yena." Abang Minseok membaca senarai nama di tangannya.
"Kumpulan B pula terdiri dari Hansol, Joshua, Soomi dan Da Eun." Abang Minseok menambah lagi. Aku tidak sabar menanti walaupun aku sudah tahu siapa yang akan berkumpulan denganku nanti.
"Bagi kumpulan C, ahli-ahlinya.. Myungsoo, Nayeon, Hee Ran dan Mingyu."
Ah, itu dia. Ia betul-betul berlaku. Sekarang aku terpaksa menahan rasa melihatkan Nayeon mula mendekati Myungsoo. Tergedik-gedik mengalahkan sotong kurita.
"Hee Ran, sinilah." Mingyu memanggilku. Dengan malas, aku mendapatkan mereka bertiga.
"Ini tugasan untuk kumpulan kita, mengambil seberapa banyak gambar premis atau runtuhan rumah atau bangunan, tumbuh-tumbuhan serta bentuk muka bumi yang masih kekal selepas pembinaan Empangan Paldang." menggalas jawatan sebagai ketua kumpulan C, Myungsoo memberi penerangan.
"Baik." aku mengangguk faham.
"Lagi satu, kita akan berpecah kepada dua. Mingyu dan Nayeon, korang berdua teroka bahagian sana. Saya dan Hee Ran, sebelah sini." tambah Myungsoo lagi.
Apa? Aku dan Myungsoo..
Ahhh! Seronoknya!
Hatiku menjerit girang buat seketika sebelum terpandang wajah cemberut Nayeon.
Hah! Padan muka!
"Diingatkan, ketika berada di kawasan berhampiran tasik.. Jangan berada di gigi air. Takut tergelincir atau terjatuh nanti." Myungsoo sempat berpesan lalu membuka langkahnya.
Aku terus membuntuti lelaki itu.
Indahnya berdua-duaan. Inilah masanya untuk aku mengambil kesempatan, membuat pengakuan kepada Myungsoo bahawa aku sukakannya.
Ya Tuhan, aku memohon semoga ianya berjalan dengan lancar.
*********
Jimin, anda relaks dulu. Part seterusnya.. Anda muncullah puas-puas. 😆😆😆
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top